Tuesday, December 9, 2008
                                               
Majlis Ugama Islam Singapura
Khutbah AidilAdha
8 Disember 2008 / 10 Zulhijjah 1429
Pengorbanan Membuka Pintu-Pintu Kecemerlangan
Saudaraku yang dirahmati Allah sekalian,
Pada pagi yang penuh keberkatan ini, marilah sama-sama kita memperbaharui keimanan dengan mempertingkatkan taqwa kepada Tuhan yang Maha Esa dan melahirkan kesyukuran kepadaNya. Marilah kita saling berpesan sesama kita untuk menjadi hamba-hamba yang mulia di sisi Allah s.w.t. Kemuliaan yang terhasil dengan berusaha gigih melaksanakan segala perintah Allah dan bersabar menjauhi semua laranganNya.
Saudaraku,
Pagi inilah di antara masa termulia untuk kita melaungkan takbir memuji kebesaran dan keesaan Allah s.w.t. Ia mengingatkan kita erti kehidupan ini sebenarnya. Bahawa kita harus sentiasa merendah diri di hadapan keagungan dan kebesaran Allah s.w.t. Pada saat ini, saudara-mara dan sahabat handai kita yang berada di tanah suci juga sedang berjuang menegakkan rukun Islam yang kelima iaitu ibadat Haji. Perjuangan mereka melibatkan pengorbanan tenaga, masa, harta dan meninggalkan keluarga dan sanak saudara semata-mata untuk Allah s.w.t. Sama-samalah kita doakan semoga setiap yang pergi akan dikurniakan haji yang mabrur, yang mana pahalanya tidak ada lain kecuali syurga.
Saudara sekalian,
Setiap kali Eidul Adha menjelang, kita mengingat kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail ‘alaihimas salaam. Namun, apakah erti pengorbanan? Apakah matlamatnya?
Allah s.w.t. berfirman di dalam Surah al-Hajj ayat 37 yang menerangkan:
Yang bermaksud ”Daging dan darah binatang korban itu bukanlah yang sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas dari taqwa kamu. Demikianlah Dia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu mengagungkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya.”
Jelas daripada ayat ini bahawa taqwa dan keikhlasan di dalam melakukan ibadah korban itulah ia nilai dan maksud pengorbanan kita. Pengorbanan lahir dari keikhlasan seseorang, serta jiwa yang dipenuhi cinta kepada Allah dan RasulNya .
Pengorbanan bererti kesediaan kita untuk meninggalkan sesuatu kerana tujuan yang lebih utama dan mulia. Jika anda menunaikan ibadah haji, maka anda berkorban, kerana bersedia menjalani kesusahan dan keperitan perjalanan, meninggalkan kesenangan hidup di tanahair, demi mencari keredhaan Allah s.w.t. Jika anda bekerja mencari rezki yang halal, sehingga penat dan letih, demi memberi makanan dan didikan yang baik bagi keluarga dan anak-anak, maka anda berkorban. Jika anda sanggup melepaskan peluang membeli sesuatu yang mewah atau mahal, dan sebaliknya menggunakan kemampuan anda untuk membantu orang yang lebih memerlukan, maka anda telah berkorban.
Saudaraku,
Maka tidak ada masa yang lebih sesuai untuk kita bincangkan maksud pengorbanan selain masa kini, di mana dunia kini berdepan dengan pelbagai cabaran. Cabaran keselamatan dan keamanan, cabaran ekonomi dan kewangan, cabaran akidah dan keimanan. Semua jenis cabaran ini pasti menyedarkan kita erti pengorbanan di dalam kehidupan.
Dalam menghadapi cabaran-cabaran ini, pengorbanan bererti kita perlu membuat perubahan dan penyesuaian kepada kehidupan kita. Pasti perubahan bukan suatu yang selesa. Perubahan bukan suatu yang kita senangi. Namun, ia diperlukan demi menghadapi cabaran dengan baik lagi efektif. Inilah pengorbanan kita, demi menuju kehidupan yang akan mendapat kejayaan di dunia dan di akhirat.
Saudaraku,
Langkah pertama kita adalah untuk bersikap positif di dalam menghadapi cabaran dan dugaan. Sikap positif membantu kita untuk mencari perkara-perkara baik disebalik setiap cabaran atau kesusahan. Di sebalik setiap cabaran dan masalah adalah pelbagai peluang untuk dimanfaatkan.
Kedua: Kita juga perlu terus berusaha dan berfikir untuk mencari huraian yang akan mengeluarkan kita daripada kesempitan lantas mengatasi cabaran itu dengan berkesan.
Ketiga: Selain mempunyai sikap positif dan berusaha, kita juga perlu yakin dengan bantuan Allah s.w.t. Ingatlah bahawa Allah s.w.t. adalah yang Maha Berkuasa atas setiap sesuatu. Dialah yang memberi sesuatu ujian dan Dialah yang mampu memberi kita petunjuk kepada jalan keluarnya.
Marilah kita imbas kembali kisah pengorbanan Saidatina Siti Hajar, ibunda Nabi Ismail a.s. di dalam usahanya untuk menyelamatkan anaknya yang kehausan. Dengan penuh kesungguhan, beliau berusaha tanpa lelah berlari dan mendaki . Sepanjang itu, beliau tidak lupa akan Allah s.w.t. dan meminta  bantuan serta pertolongannya. Walaupun pada mulanya beliau tidak memperolehi air yang dicari, beliau tetap meneruskan usahanya. Akhirnya, berkat kegigihan dan kemantapan jiwa yang dimiliki oleh Saiyidatina Siti Hajar, Allah mengurniakan apa yang dicarinya.
Sikap positif Siti Hajar mendorong beliau untuk meneruskan usahanya tanpa lelah. Berkat kegigihan dan keyakinannya, Allah s.w.t. telah membalas pengorbanannya dengan pancuran air Zam Zam yang dikekalkan sehingga hari ini untuk dimanfaatkan oleh jutaan manusia. Siti Hajar terus meminta bantuan Allah s.w.t. dan tidak berputus asa denganNya.
Ini merupakan pelajaran yang begitu penting sekali bagi kita di dalam berdepan dengan sesuatu dugaan. Kekalkan sikap positif dan tingkatkan keyakinan kita pada Allah s.w.t. Usahakan supaya kita dapat meraih manfaat di dalam melalui kepayahan dan menjalani pengorbanan.
Sekarang ini, di dalam suasana ekonomi muram, mungkin pekerjaan kita terjejas. Contohnya, kita tidak berpeluang mencari rezki tambahan melalui kerja “overtime” contohnya. Namun, jangan kita duduk muram dan sedih. Sebaliknya, kita harus bersikap positif, dan melihat kebaikan di sebalik cabaran yang ada. Kita sebenarnya boleh memanfaatkan kelapangan tersebut untuk pelbagai faedah yang lain, yang mungkin kita kurang berpeluang sebelum ini kerana kesibukan bekerja siang dan malam. Contohnya,  mempertingkatkan ibadah, mempelajari ilmu seperti membaca dan memahami Al-Quran. Ketahuilah wahai Muslimin dan Muslimat sekalian, bahawa dalam setiap kesusahan yang timbul, akan datang bersamanya kesenangan sesudah itu. Ini adalah janji Allah s.w.t. di dalam firmanNya:
Yang bermaksud: Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. (Sekali lagi ditegaskan): Bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain).
[Surah Al-Insyirah ayat 5 hingga 8]
Saudaraku,
Walaupun zahirnya kita menghadapi kesusahan, tetapi kita juga mampu merubahnya menjadi kebaikan. Masa bekerja berkurangan, tetapi rebutlah peluang ini untuk meluangkan masa yang berkualiti bersama keluarga anda. Perkukuhkan hubungan bersama orang-orang yang tersayang dalam hidup kita. Ia boleh dilakukan dengan beriadah bersama dan melakukan aktiviti bermanfaat sesama keluarga. Usaha kecil ini akan mengekalkan kesepaduan di dalam institusi keluarga anda dan meningkatkan persefahaman dan mengukuhkan kasih dan sayang.
Dalam suasana kegawatan ekonomi, wang juga biasanya menjadi antara sebab perbalahan yang berlaku di dalam sebuah keluarga. Maka adalah baik untuk kita lebih berhati-hati dalam perbelanjaan. Kita perlu mendidik ahli keluarga kita agar lebih berhemat dan berjimat. Tanamkan di dalam diri mereka mereka erti pengorbanan dengan mengurangkan kemewahan. Mengurangkan dan meninggalkan kemewahan juga merupakan satu bentuk pengorbanan agar kita dapat meningkatkan sikap disiplin di dalam diri.
Umat Islam perlu bijak merancang dan bersedia untuk segala kemungkinan. Contoh bagaimana untuk berjimat jelas terpapar di dalam nasihat Nabi Yusuf a.s. Tatkala Raja Mesir bermimpi tujuh lembu yang kurus memakan lembu yang gemuk, dan tujuh tangkai gandum yang hijau, dan tujuh tangkai lain yang kering. Beliau lalu menanyakan tafsirannya kepada Nabi Yusuf a.s. Nabi Yusuf dengan hikmah yang dikurniakan Allah s.w.t. memberikan nasihat sepertimana yang dirakamkan di dalam Surah Yusuf ayat 47-49:
Yang bermaksud:
Yusuf menjawab: "Hendaklah kamu menanam bersungguh-sungguh tujuh tahun berturut-turut, kemudian apa yang kamu ketam biarkanlah dia pada tangkai-tangkainya; kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan untuk makan. Kemudian akan datang selepas tempoh itu, tujuh tahun kemarau yang besar, yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan baginya; kecuali sedikit dari apa yang kamu simpan (untuk dijadikan benih). "Kemudian akan datang pula sesudah itu tahun yang padanya orang ramai beroleh rahmat hujan, dan padanya mereka dapat memerah (hasil anggur, zaitun dan sebagainya)".
Saudaraku,
Di sebalik pengorbanan perasaan dan kemewahan, kita dapat menyemai sikap-sikap yang positif dan penting di dalam membina jati diri dan daya tahan yang tinggi. Didiklah ahli keluarga kita untuk memiliki sifat syukur terhadap segala nikmat yang dikurniakan. Berikan mereka kesedaran terhadap kesusahan yang lebih berat yang dialami oleh orang lain di dalam masyarakat. Asuhan dan didikan seperti ini harus menjadi sebahagian daripada nilai keluarga kita.
Ternyata dari setiap pengorbanan, samada dalam bentuk masa, wang, perasaan mahupun usaha, kita sebenarnya boleh meraih pelbagai faedah seperti peningkatan rohani, hubungan keluarga yang lebih kukuh dan juga kesedaran tentang cabaran sosial dalam negara.
Saudaraku,
Di dalam keadaan pasaran kerja yang semakin mengecil kita juga perlu pertingkatkan ilmu dan kemahiran. Ilmu yang selalu dipertingkatkan hanya akan membawa kebaikan pada sesiapa sahaja, selagi mana pencarian ilmu dipandu dengan nilai-nilai terpuji yang diajarkan Islam. Contohnya, para majikan tentunya akan menghitung kemampuan kita untuk berkerja berdasarkan kelulusan dan kemahiran kita. Pekerja yang rajin menimba ilmu dan kemahiran baru dengan sering menghadiri kursus-kursus peningkatan diri dan sebagainya, akan meraih kepercayaan para majikan mereka.
Begitulah kepentingan ilmu di dalam kehidupan. Disamping bekerja setiap hari, hendaklah kita juga mempunyai cita-cita untuk mengembangkan lagi ilmu pengetahuan. Kepentingan ilmu jelas terpapar di dalam Al-Quran apabila ilmu disebutkan di dalam Al-Quran sebanyak 865 kali.
Sebagai seorang Muslim, kita percaya bahawa setiap langkah dan usaha dalam pembangunan ilmu merupakan satu ibadah. Dengan menuntut ilmu, Allah s.w.t. juga akan memudahkan perjalanannya menuju kebahagiaan di dunia dan di akhirat, insyaAllah. Pesan Baginda Rasulullah s.a.w.:Barangsiapa yang mencari satu jalan untuk mencari ilmu Allah akan mempermudahkan baginya jalan ke syurga. (Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)
Saudaraku,
Ketahuilah bahawa pengorbanan demi pengorbanan mungkin diperlukan pada tahun yang mendatang, namun dengan jati diri yang kuat, dibekalkan ilmu yang mantap dan keimanan yang kukuh, insyaAllah, setiap cabaran akan diharungi dengan kesabaran yang akan membawa kepada kejayaan di dunia dan akhirat.
Semoga dengan cabaran dan ujian yang mendatang, umat Islam akan semakin kukuh keimanan dan kepercayaannya kepada Allah s.w.t., semakin berkemahiran dan berilmu serta bersedia untuk menempuhi kehidupan di dunia dan mencapai kebahagiaan abadi di akhirat kelak, amin Ya Rabbal `Alamin.
                                                Tamat dikemaskini